MENU

Wednesday, July 7, 2021

MASALAH- CARA HADAPI MASALAH- APA2 PUN CUBA SENTIASA DEKATKAN DIRI DENGAN ALLAH


Fitrah kehidupan manusia akan melalui masalah. Bagi bayi dan kanak-kanak, tetap ada masalah yang dihadapi dan sudah pasti masalah dan kadar masalahnya berbeza dengan orang dewasa. Tidak hanya orang yang kurang berkemampuan menghadapi masalah, orang yang kaya raya juga memiliki masalah. Inilah realiti kehidupan.  


Setiap kita punya sikap yang berbeza dalam menghadapi masalah. Ada orang yang mudah tertekan, kemurungan (depress), selalu mengeluh. Namun tidak kurang juga yang sabar dan berusaha menghadapi masalah dengan redha. 


Islam mengajarkan kita cara terbaik agar masalah yang dihadapi dapat diselesaikan. Bukan dengan cara mengelak darinya serta lari dari tanggungjawab.


Antara yang boleh dilakukan bagi menghadapi masalah;


1.  Menjadikan masalah atau ujian yang datang sebagai tanda kasih sayang Allah terhadap kita. Al-Quran menegaskan hal ini:


كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ


Tiap-tiap yang berjiwa pasti akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan. (al-Anbiya: 35)


Ibnu ‘Abbas berpendapat, ayat ini bermaksud, Allah akan menguji kita dengan kesengsaraan dan kesejahteraan, sihat dan sakit, kekayaan dan kemiskinan, haram dan halal, ketaatan dan kemaksiatan, serta hidayah dan kesesatan. Semua ujian itu untuk melihat sama ada kita bersyukur dengan nikmat dan bersabar dengan musibah atau sebaliknya. 


Ketika kita mampu menghadapi masalah dengan sabar dan bijak, maka secara tidak sedar sebenarnya itulah bentuk dari kasih sayang Allah SWT untuk kita kembali kepada-Nya. 


2.  Menganggap masalah merupakan cara Allah SWT untuk membersihkan dosa dan meninggikan darjat dan status kita sebagai hamba. 


عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ شَوْكَةٍ فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً أَوْ حَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً

 

Daripada 'Aisyah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada satupun musibah (kesusahan) yang menimpa seorang muslim berupa duri atau yang semisalnya, melainkan dengannya Allah akan mengangkat darjatnya atau menghapus kesalahannya." (Sahih Muslim No: 4665) Status: Hadis Sahih


3.  Meyakini bahawa Allah memberikan ujian sesuai dengan kadar kemampuan kita. Allah SWT Maha Adil tidak akan membebani hambanya di luar batasnya. Yang penting  kita berusaha mencari jalan keluarnya. Allah berfirman:


لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ ۗ


Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. Al-Baqarah: 286


4.  Meyakini bahawa di mana ada kesulitan di situ pasti ada kemudahan. Firman Allah SWT


فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا  إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا


Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan, sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan (al-Insyirah: 6)


5. Mencari bantuan daripada mereka yang mampu membantu. Tidak mengapa untuk mencari pihak yang mampu membantu kita dalam menyelesaikan masalah. Beban akan terasa ringan selepas kita menceritakan dan berkongsi rasa dengan mereka yang kita percayai.


No comments:

Post a Comment

SET A- KOLEKSI BAHAN LATIHAN- ULANGKAJI PENDIDIKAN ISLAM TAHUN 4

SET A- KOLEKSI BAHAN LATIHAN- ULANGKAJI PENDIDIKAN ISLAM TAHUN 4