MENU

Tuesday, August 17, 2021

[ MARI MENGENALI CUCU TERTUA TOK KU PALOH ]




 [ MARI MENGENALI CUCU TERTUA TOK KU PALOH ]


Hubabah Syarifah Zainab @ Tuan Lu’ Lu’ binti Sayyid Saggaf bin Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainal Abidin bin Sayyid Syeikh bin Sayyid Musthafa dilahirkan pada tahun 1918M. 


Datuk kepada Hubabah Tuan Lu' Lu' adalah Sayyid Abdul Rahman Bin Sayyid Muhammad al-Idrus atau dikenali ramai sebagai Tok Ku Paloh yang merupakan salah seorang daripada orang terpelajar dalam bidang agama dalam Sejarah Negeri Terengganu sementara neneknya pula Wan Ngah Binti Wan Abdullah adalah cucu kepada Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, Mufti pertama Negeri Terengganu.


Ayah kepada Hubabah Tuan Lu' Lu' adalah Sayyid Saggaf bin Sayyid Abdul Rahman. Beliau merupakan seorang penasihat Di-Raja dalam Istana Terengganu di zaman pemerintahan Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Kerana jasa-jasanya, beliau telah dianugerahkan gelaran ‘Engku Kelana Di-Raja’ satu-satunya gelaran yang jarang diberikan dan hanya dianugerahkan kepada penerima dari kalangan keturunan Sayyid.


Tok Ku Sayyid Saggaf menerima pendidikan awal daripada ayahandanya sendiri iaitu Tok Ku Paloh dan selepas kematian Tok Ku Paloh beliau belajar pula dengan Haji Abdul Rahman Limbong yang merupakan salah seorang anak murid Tok Ku Paloh.


Beliau telah dianugerahkan sebidang tanah di Gong Kapas oleh Sultan Mohamad ibni Sultan Zainal Abidin III untuk beliau memerintahnya serta mengajar agama Islam. Di atasnya, beliau telah mewujudkan satu komuniti yang berdikari dimana beliau telah merancang serta menyusun penduduknya yang terdiri daripada isteri-isterinya, anak-anaknya serta pengikut-pengikutnya dan juga telah mengadakan keperluan-keperluan mereka seperti kemudahan-kemudahan seperti surau untuk belajar agama serta sebuah gelanggang luar untuk beliau mengajar silat.


Tok Ku Syed Saggaf bukan sahaja seorang yang terpelajar dalam bidang agama malahan beliau juga pandai dalam seni bela diri silat dan seorang yang membuat senjata melayu seperti keris. Semasa hayatnya beliau telah berjaya menghasilkan lebih kurang lima belas senjata yang sangat halus dan bermutu tinggi yang mana ianya sehingga ke hari ini menjadi idaman serta buruan pengemar antik serta pencinta seni.


Dikatakan meskipun usia Hubabah Tuan Lu' Lu' sudah cecah 103 tahun , tapi ingatan dan pandangannya masih kuat dan tajam. Bila ditanyakan apa rahsianya, jawapan diberi, "Tok sentiasa baca Al-quran , mengamalkan syahadat Tokku Paloh , menjaga waktu solat , melakukan solat sunat dhuha , setiap malam bangun bertahajud dan sentiasa berselawat dan berzikir."


Hubabah Tuan Lu' Lu' dijemput Allah SWT pulang ke hadratNya pada 17 Ogos 2021. Semoga Allah SWT merahmati roh beliau dan menempatkan beliau bersama para solihin.


Kredit : 

- Tengku Daeng Mawelle

- pondokhabib.wordpress.com

- Facebook Syed Saggaf Bin Syed Abd Rahman al-Idrus

No comments:

Post a Comment

JOM ULANGKAJI PENDIDIKAN ISLAM- IBADAH THN 6- SOLAT JENAZAH.

JOM ULANGKAJI PENDIDIKAN ISLAM- IBADAH THN 6- SOLAT JENAZAH.