MENU

Wednesday, February 2, 2022

MEMINANG TUNANG ORANG? PETIKAN DARIPADA USTAZ AZHAR IDRUS DI FB


فتاوى معاصي اللسان والجوارح
Fatwa Sekelian Maksiat Lisan & Anggota

فصل في معاصي اللسان
Fasal Pada Menerangkan Segala Maksiat Lisan

MEMINANG TUNANG ORANG

السؤال:  ما معنى الخطبة على خِطبة أخيه ؟

Apakah makna meminang atas pinangan saudaranya?

الجواب:  إذا مسلم خطب بنتاً وكلم وليها ووافق على خطبته ، ثم جاء شخص فقال لهم : أخطبوني ابنتكم وافسخوا خِطبة ذاك ، هذا حرام لما فيه من الإيذاء والقطيعة 

Apabila seorang Islam telah meminang akan seorang perempuan dan walinya telah bersuara dan muafakat ia atas pinangannya itu kemudian datang seorang yang lain lalu berkata bagi mereka : Tunangkan aku akan anak perempuan kamu dan putuskan pinangan orang itu maka ini adalah haram kerana terkandung padanya menyakiti orang lain dan memutuskan persaudaraan.

KETERANGAN

ARTI MEMINANG

Meminang artinya pihak lelaki menyatakan hasrat kepada pihak perempuan untuk menikah dengannya atau untuk mengambilnya sebagai isteri.

Penyataan hasrat itu harus dengan percakapan lisan dari pihak lelaki kepada perempuan tersebut atau kepada walinya atau kaum keluarganya atau melalui wakilnya atau seumpamanya atau melalui surat.

Maka perbuatan tersebut dinamakan meminang dan apabila pihak perempuan telah bersetuju maka perempuan itu telah menjadi tunangnya.

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili :

الخطبة: هي إظهار الرغبة في الزواج بامرأة معينة، وإعلام المرأة وليها بذلك. وقد يتم هذا الإعلام مباشرة من الخاطب، أو بواسطة أهله. فإن وافقت المخطوبة أو أهلها، فقد تمت الخطبة بينهما، وترتبت عليها أحكامها وآثارها الشرعية

Artinya : “Meminang yaitu menyatakan keinginan pada berkahwin dengan seorang perempuan yang tertentu dan pihak perempuan memaklumkan akan walinya dengan yang demikian itu. Dan sungguh telah sempurnalah pemberitahuan ini secara langsung dari lelaki yang meminang atau dengan perantaraan keluarganya. Maka jika sepakat oleh perempuan yang dipinang atau keluarganya maka sungguh telah sempurnalah pertunangan antara keduanya dan tersusunlah atas perempuan itu segala hukumnya dan segala kesannya yang bangsa syarak.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Jika pihak lelaki telah melakukan peminangan manakala pihak perempuan belum lagi membuat keputusan nescaya keduanya belum lagi dihukumkan sudah bertunang dan perempuan tersebut belum lagi dikira sebagai tunang orang.

Dan harus seorang lelaki meminang perempuan itu tanpa kehadiran keluarganya seperti berkata lelaki itu kepada perempuan tesrebut ‘aku ingin mengambilmu sebagai isteriku’. Maka perbuatan lelaki itu dinamakan meminang. Dan jika perempuan itu telah bersetuju seperti dikatanya ‘saya setuju’ maka pertunangan itu telah sah dan jadilah perempuan itu tunangnya.

Ketahui olehmu bahawa bertunang itu hanyalah permulaan bagi nikah dan bukannya ia seperti bernikah dan tidak terjadi hukum-hukum bernikah dengan sebab bertunang dan tunangnya adalah masih perempuan yang ajnabiyyah dan berlaku padanya hukum-hukum perempuan ajnabiyah seperti haram melihat dan haram menyentuhnya.

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah :

وَالْخِطْبَةُ مُقَدِّمَةٌ لِلنِّكَاحِ، وَلاَ يَتَرَتَّبُ عَلَيْهَا مَا يَتَرَتَّبُ عَلَى النِّكَاحِ

Artinya : “Dan pertunangan itu ialah muqaddimah bagi nikah dan tidak terjadi atasnya apa yang terjadi atas pernikahan.”

Bermula hukum meminang sebelum bernikah adalah disunatkan kerana mengikut perbuatan Rasulullah sollallahu alaihi wasalam.

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah :

وَالْمُعْتَمَدُ عِنْدَ الشَّافِعِيَّةِ أَنَّ الْخِطْبَةَ مُسْتَحَبَّةٌ لِفِعْلِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَيْثُ خَطَبَ عَائِشَةَ بِنْتَ أَبِي بَكْرٍ، وَخَطَبَ حَفْصَةَ بِنْتَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ

Artinya : “Dan pendapat yang muktamad di sisi mazhab Syafie bahawasanya meminang itu disunatkan kerana perbuatan Nabi sollallahu alaihi wasallam ketika meminang olehnya akan Aisyah binti Abu Bakar r.a. dan meminang akan Hafsah binti Umar r.a.”

LARANGAN MEMINANG TUNANG ORANG

Dalil-dalil larangan meminang tunangan orang lain sangat banyak datang di dalam hadith-hadith yang sahih.

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda :

لاَ يَبِعِ الرَّجُلُ عَلَى بَيْعِ أَخِيهِ وَلاَ يَخْطُبْ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ

Artinya : “Janganlah seorang itu membeli atas belian saudaranya dan jangan dia meminang atas pinangan saudaranya.” (Riwayat Muslim)

Dan diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. sungguhnya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda :

لَا يَخْطُبُ أَحَدُكُمْ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ

Artinya : “Jangan meminang oleh seorang kamu atas pinangan saudaranya.” (Riwayat Imam Syafie)

Dan pada satu riwayat Imam Muslim :

وَلَا يَخْطُبْ بَعْضُكُمْ عَلَى خِطْبَةِ بَعْضٍ

Artinya : “Dan jangan meminang oleh sebahagian kamu atas pinangan sebahagian yang lain.”

HUKUM MEMINANG PINANGAN ORANG

Bermula perbuatan meminang tunang orang itu adalah haram dengan syarat yang meminang telah mengetahui perempuan itu telah bertunang dan dia sengaja meminangnya.

Berkata Imam Nawawi :

هَذِهِ الْأَحَادِيثُ ظَاهِرَةٌ فِي تَحْرِيمِ الْخِطْبَةِ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ

Artinya : “Sekelian hadith-hadith ini jelas pada mengharamkan meminang atas pinangan saudaranya.” (Kitab Syarah Sahih Muslim)

Adapun jika pihak lelaki tidak mengetahui bahawa perempuan itu telah bertunang lalu datang ia meminangnya maka tidaklah haram kerana ketiadaan sengaja.

Demikian lagi tidak haram meminang perempuan yang telah dipinang tetapi belum menjawabnya yakni belum memberi kata putus samada bersetuju dengan pinangan atau tidak bersetuju.

Berkata Fuqahak :

الْمَرْأَةُ الَّتِي لاَ يُعْلَمُ أَهِيَ مَخْطُوبَةٌ أَمْ لاَ، أُجِيبَ خَاطِبُهَا أَمْ رُدَّ، يَجُوزُ لِمَنْ لاَ يَعْلَمُ ذَلِكَ أَنْ يَخْطُبَهَا لأِنَّ الأْصْل الإْبَاحَةُ، وَالْخَاطِبُ مَعْذُورٌ بِالْجَهْل 

Artinya : “Bermula perempuan yang tidak diketahui adakah dia sudah dipinang atau belum dan tidak diketahui samada pihaknya telah menerima pinangan atau menolaknya maka harus bagi orang yang tidak mengetahui akan yang demikian itu meminangnya kerana asal hukum sesuatu itu adalah harus dan yang meminang itu diberi keuzuran sebab tidak mengetahuinya.” (Kitab Raudhah At-Talibin & Kasyful Kina’)

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili :

فقد أجمع العلماء على تحريم الخطبة الثانية على الخطبة الأولى إذا كان قد تم التصريح بالإجابة، ولم يأذن الخاطب الأول، ولم يترك الخطبة 

Artinya : “Maka sungguh telah ijmak oleh ulamak atas diharamkan pinangan yang kedua atas pinangan yang pertama apabila adalah pinangan yang pertama itu telah telah jelas diterima dan tidak memberi izin oleh tunangnya yang pertama dan dia tidak meninggalkan tunangnya.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah :

ذَهَبَ الشَّافِعِيَّةُ وَالْحَنَابِلَةُ إِلَى أَنَّهُ يُشْتَرَطُ لِلتَّحْرِيمِ أَنْ يَكُونَ الْخَاطِبُ الأْوَّل قَدْ أُجِيبَ وَلَمْ يَتْرُكْ وَلَمْ يَعْرِضْ وَلَمْ يَأْذَنْ لِلْخَاطِبِ الثَّانِي، وَعَلِمَ الْخَاطِبُ الثَّانِي بِخِطْبَةِ الأْوَّل وَإِجَابَتِهِ. وَزَادَ الشَّافِعِيَّةُ فِي شُرُوطِ التَّحْرِيمِ، أَنْ تَكُونَ إِجَابَةُ الْخَاطِبِ الأْوَّل صَرَاحَةً، وَخُطْبَتُهُ جَائِزَةٌ أَيْ غَيْرُ مُحَرَّمَةٍ، وَأَنْ يَكُونَ الْخَاطِبُ الثَّانِي عَالِمًا بِحُرْمَةِ الْخِطْبَةِ عَلَى الْخِطْبَةِ

Artinya : “Telah berjalan oleh ulamak mazhab Syafie dan Hanbali kepada disyaratkan bagi haramnya meminang itu ialah peminangan orang yang pertama telah diterima dan dia tidak meninggalkannya dan tidak memberi izin bagi lelaki yang kedua dan lelaki yang kedua telah tahu tentang peminangan oleh lelaki yang pertama dan diterimanya. Dan menambah oleh ulamak mazhab Syafie pada syarat pengharaman meminang itu bahawa jawapan penerimaan bagi pinangan lelaki yang pertama sudah jelas dan pinangannya itu harus pada syarak yakni tidak diharamkan dan bahawa lelaki yang kedua itu telah tahu tentang haramnya meminang atas pinangan orang.” 

Maksudnya apabila seorang lelaki meminang seorang perempuan dan perempuan itu belum menjawabnya maka harus lelaki yang kedua pula meminangnya dan begitulah seterusnya.

MEMINANG BEKAS TUNANG ORANG

Dan harus meminang tunang orang yang telah ditinggalkan atau telah memutuskan pertunangan oleh kedua belah pihak atau salah satu pihak atau tunangnya telah memberi izin kepadanya.

Dan sebab tiada haram meminang seperti itu kerana sabit dalam hadith-hadith yang sahih harus meminang perempuan yang sudah memutuskan pertunangan atau sudah ditinggalkan oleh tunangnya atau tunangnya sudah bernikah dengan perempuan lain atau pihak lelaki memberi izin kepadanya untuk meminang.

Diriwayatkan daripada Uqbah bin Amir r.a. bahawasanya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah bersabda :

وَلاَ يَخْطُبُ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيْهِ حَتَّى يَذَرَ

Artinya : “Dan jangan seorang itu meminang atas pinangan saudaranya sehinggalah dia meninggalkannya.” (Hadith riwayat Bukhari)

Dan diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. sabda Nabi sollallahu alaihi wasallam :

وَلاَ يَخْطُبَ الرَّجُلُ على خِطْبَةِ أَخِيهِ، حَتَّى يَتْرُكَ الْخَاطِبُ قَبْلَهُ، أَوْ يَأْذَنَ لَهُ الْخَاطِبُ

Artinya : “Dan jangan seorang itu meminang atas pinangan saudaranya sehingga meninggalkan oleh orang yang meminang sebelumnya atau memberi izin baginya oleh yang telah meminangnya.” (Hadith riwayat Muslim)

Dan diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Nabi sollallahu alahi wasallam bersabda :

وَلاَ يَخْطُبُ الرَّجُلُ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ حَتَّى يَنْكِحَ أَوْ يَتْرُكَ

Artinya : “Dan jangan seorang itu meminang atas pinangan saudaranya sehingga dia telah bernikah atau dia telah meninggalkannya.” (Hadith riwayat Bukhari)

Dan pada satu riwayat Imam Ahmad :

ولا يخطب على خِطْبة أخيه، إلا أن يأذن له

Artinya : “Dan jangan seorang itu meminang atas pinangan saudaranya melainkan bahawa dia telah memberi izin baginya.”

Berkata Imam Nawawi :

وَأَجْمَعُوا عَلَى تَحْرِيمِهَا إِذَا كَانَ قَدْ صُرِّحَ لِلْخَاطِبِ بِالْإِجَابَةِ ، وَلَمْ يَأْذَنْ ، وَلَمْ يَتْرُكْ

Artinya : “Telah ijmak oleh ulamak atas pengharaman meminang tunang orang apabila adalah pihak yang meminang telah mendapat jawapan yang jelas (diterima) dan dia tidak mengizinkannya dan dia tidak meninggalkannya.” (Kitab Syarah Muslim)

Maksud belum mendapat jawapan itu ialah apabila pihak lelaki telah meminang yakni menyatakan hasrat untuk mengambil perempuan itu sebagai isteri tetapi pihak perempuan belum lagi bersetuju maka perempuan itu belum dikira sebagai tunang orang dan tidak haram lelaki yang kedua meminangnya pula. 

Dan apabila pihak perempuan samada perempuan itu sendiri atau keluarganya telah bersetuju maka perempuan itu adalah dikira sudah menjadi tunang orang maka haram orang yang mengetahuinya masuk pula meminangnya.

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili :

أما إن لم تتم الخطبة الأولى، وكان الأمر في حال مشاورة أو تردد، فالأصح عدم التحريم، ولكن تكره عند الحنفية الخطبة، لإطلاق الأحاديث السابقة الواردة 

Artinya : “Adapun jika belum sempurna peminangan oleh lelaki yang pertama dan perkara itu sedang dalam perbincangan atau keputusan tergantung antara menerima dan menolaknya maka pendapat yang paling sahih ialah ketiadaan diharamkan akan tetapi dimakruhkan di sisi mazhab Hanafi kerana umum segala hadith yang telah lalu sebutnya.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

NIKAH DENGAN TUNANG ORANG

Jika seorang lelaki menikah dengan perempuan yang telah menjadi tunang orang dan pertunangan mereka berdua belum diputuskan dan pihak lelaki belum meninggalkan pihak perempuan maka pernikahan tersebut adalah sah tetapi berdosa kerana telah melakukan perbuatan yang haram.

Berkata Dr Mustafa Al-Khin :

وتحرم خطبة إنسان على خطبة أخيه، إذا كان قد صرح له بالإجابة، إلا بإذنه. فإن لم يجب ولم يرد لم تحرم الخطبة. وهذه الحرمة حرمة توجب الإثم، ولا توجب بطلان العقد، فيما إذا خطب على خطبة أخيه، وعقد عقد الزواج

Artinya : “Dan haram meminang oleh seseorang atas pinangan saudaranya apabila adalah peminangan itu telah jelas diterima melainkan dengan izinnya. Maka jika belum dijawab akan peminangan itu dan belum ditolak maka tidak haram meminang. Dan keharaman ini ialah haram mengakibatkan berdosa akan tetapi tidak merosakkan aqad pada masalah meminang atas pinangan saudaranya dan melakukan aqad nikah.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji) 

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili :

فإن خطب الثاني وتزوج والحال هذه فقد عصى، باتفاق العلماء 

Artinya : “Maka jika lelaki yang kedua meminang dan bernikah maka dia telah melakukan satu maksiat dengan sepakat ulamak.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah :

فَذَهَبَ الْجُمْهُورُ إِلَى أَنَّ عَقْدَ النِّكَاحِ عَلَى مَنْ تَحْرُمُ خِطْبَتُهَا - كَعَقْدِ الْخَاطِبِ الثَّانِي عَلَى الْمَخْطُوبَةِ، وَكَعَقْدِ الْخَاطِبِ فِي الْعِدَّةِ عَلَى الْمُعْتَدَّةِ بَعْدَ انْقِضَاءِ عِدَّتِهَا - يَكُونُ صَحِيحًا مَعَ الْحُرْمَةِ؛ لأِنَّ الْخِطْبَةَ الْمُحَرَّمَةَ لاَ تُقَارِنُ الْعَقْدَ فَلَمْ تُؤَثِّرْ فِيهِ؛ وَلأِنَّهَا لَيْسَتْ شَرْطًا فِي صِحَّةِ النِّكَاحِ

Artinya : “Maka jumhur ulamak berjalan kepada bahawa aqad nikah orang yang haram meminangnya seperti aqad nikah lelaki peminang yang kedua atas perempuan yang telah dipinang dan seperti aqad lelaki yang meminang perempuan yang dalam eddah selepas tamat eddahnya adalah aqad nikahnya itu sah tetapi haram kerana pinangan yang diharamkan tidak menyertai aqad maka tidaklah memberi kesan padanya dan kerana sungguhnya meminang itu bukanlah syarat pada sahnya nikah.”

Maksudnya jika seorang lelaki meminang akan perempuan yang telah menjadi tunang orang kemudian bernikah dengannya maka pernikahan tersebut adalah sah dan perbuatannya itu adalah haram.

Begitu juga jika seorang lelaki meminang seorang perempuan yang sedang berada di dalam eddah kemudian dia bernikah dengan perempuan itu selepas selesai eddahnya maka nikahnya itu sah tetapi perbuatannya meminang perempuan yang dalam eddah itu adalah haram.

wallahua’lam 
ustaz azhar idrus

 

No comments:

Post a Comment

SET A- KOLEKSI BAHAN LATIHAN- ULANGKAJI PENDIDIKAN ISLAM TAHUN 4

SET A- KOLEKSI BAHAN LATIHAN- ULANGKAJI PENDIDIKAN ISLAM TAHUN 4