MENU

Tuesday, July 18, 2023

SALAM MAAL HIJRAH 1445H/ 2023

               SALAM MAAL HIJRAH 



🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺
SEDIKIT PERKONGSIAN INFO /ILMU YANG SUMBER DARIPADA USTAZ AZHAR IDRUS. TERIMA KASIH BANYAK2 USTAZ. 
🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺

DOA AKHIR & AWAL TAHUN 

Soal dan Jawab

Soal :

Setengah masyarakat Islam apabila sampai hujung tahun Hijrah  mereka berdoa dengan doa berikut atau doa-doa yang lain : 

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

الحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ العَالَمِينَ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّـدِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ. اَللَّهُمَّ مَا عَمِلْنَا فِى هَذِهِ السَّنَةِ مِمَّا نَهَيْتَنَا عَنْهُ فَلَمْ نَتُبْ مِنْهُ، وَلَمْ تَرْضَهُ وَلَمْ تَنْسَهُ، وَحَلِمْتَ عَلَيْنَا بَعْدَ قُدْرَتِكَ عَلَى عُقُوبَتِنَا إِلَى التَّوْبَةِ مِنْهُ بَعْدَ جَرَاءَتِنَا عَلَى مَعْصِيَتِكَ،  فَإِنَّنَا نَسْتَغْفِرُكَ فَاغْفِرْ لَنَا، وَمَا عَمِلْنَا مِمَّا تَرْضَاهُ، وَوَعَدْتَنَا عَلَيْهِ الثَّوَابَ، فَنَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ يَا كَرِيمُ يَا ذَاالجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ، أَنْ تَتَقَبَّـلَهُ مِنَّا وَلاَ تَقْطَعْ رَجَاءَنَا مِنْكَ يَا كَرِيمُ. رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الأَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. وَصَلَّى اللهُ وَسلَّمَ عَلَى سَيـِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ وَالحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ العَالَمِينَ.

Apakah arti doa ini?

Jawab :

Artinya ialah : 

”Ya Allah, apa-apa tegahan dan larangan-Mu yang kami lakukan sepanjang tahun ini dan kami belum bertaubat daripadanya sedangkan Engkau tidak lupa dan tidak meredhainya dan Engkau juga telah berlemah-lembut kepada kami sedangkan Engkau berkuasa menyiksa kami sehingga kami bertaubat daripada perbuatan maksiat yang sengaja kami lakukan maka sesungguhnya kami memohon keampunan-Mu.
Apa-apa perbuatan kami sepanjang tahun ini yang Engkau redhai dengan pemberian pahala yang Engkau janjikan maka dengan kemuliaan dan  kebesaran-Mu maka kami memohon dan berharap penerimaannya dan janganlah Engkau hampakan harapan kami kepada-Mu.
Wahai Tuhan kami datangkan kepada kami di dunia kebaikkan dan di akhirat kebaikkan dan peliharalah kami dari api neraka.”

Soal :

Apakah hukumnya berdoa dengan doa tersebut?

Jawab :

Doa tersebut sangat baik pengertiannya. Maka siapa yang berdoa dengan doa yang baik maka dia akan mendapat dua ganjaran. Ganjaran pertama ialah berdoa kerana berdoa itu adalah ibadah. Ganjaran yang kedua ialah pahala meminta perkara yang baik maka ia adalah disuruh olih agama.

Soal :

Adakah benar doa awal tahun ini dikiaskan dengan perbuatan Nabi saw berdoa pada awal bulan? Adakah terdapat hadith Nabi saw berdoa pada awal bulan?

Jawab :

Dari Talhah bin ‘Ubaid r.a. katanya :
 
أَنَّ النَّبِيَّ صَلىَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَأَى الْهِلاَلَ قَالَ: ” اَللهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَاْلإِيْمَانِ وَالسَّلاَمَةِ وَاْلإِسْلاَمِ رَبِّيْ وَرَبُّكَ اللهُ 
Artinya : “Sungguhnya Nabi sollallahu alaihi wasallam adalah baginda telah nampak anak bulan lalu berdoa : “Ya Allah perlihatkan bulan ini pada kami dengan kebahagiaan dan keimanan dan keselamatan dan Islam. Tuhanku dan Tuhan kamu hanyalah Allah.” (Hadith riwayat At-Tirmizi)

Soal :

Adakah hadith yang menyebut tentang doa akhir tahun ini?

Jawab :

Tidak terdapat dalam kitab-kitab hadith kerana ketika Nabi sollallahu alaihi wasallam masih hidup belum lagi dimulai kalendar tahun Islam yang hanya bermula ketika zaman Umar Al-Khattab r.a.

Soal :

Apabila tidak ada satu pun hadith yang menyuruh berdoa pada awal tahun ini maka tidakkah dikira orang yang berdoa pada akhir tahun dan awal tahun sebenarnya mendatangkan hadith palsu.

Jawab :

Tidak ada orang Islam yang membaca doa akhir tahun dan awal tahun berdalilkan dengan hadith palsu tetapi mereka berdoa dengan sebab perintah Allah dan Rasul yang menyuruh berdoa secara umum. Mereka tidak menggunakan hadith palsu. Tidak ada wujud hadith tersebut.

Soal : 

Jika doa tersebut tidak ada dalam kitab hadith apakah harus membacanya? 

Bukankah syarat diharuskan membaca sesuatu doa mestilah doa itu berasal dari hadith?

Jawab : 

Doa yang hendak kita baca tidak disyaratkan mesti terdapat dalam kitab-kitab hadith. Tidak ada seorang jua pun ulama yang membuat syarat seperti itu melainkan orang yang tersangat jahil dengan selok belok hukum agama.

Cuma hendaklah diketahui bahawa doa yang paling afdhal ialah doa dari Quran dan hadith. Tetapi bukan bermakna doa selain dari Quran dan hadith tidak bolih dibaca. Bacalah sebarang doa yang dikehendaki samada doa dari Quran atau hadith atau doa dari para sahabat atau doa salafussolih atau doa para ulama atau doa yang kita karang sendiri. Semuanya dipuji olih syarak dan semuanya harus dibaca tanpa ada ulamak yang melarang.

Barang siapa berkata hanya doa dari Quran dan hadith yang bolih dibaca maka perkataannya tertolak kerana bercanggah dengan perkataan ulama. Dalam masalah hukum agama wajib mengikut perkataan ulama dan meninggalkan perkataan orang jahil.

Soal : 

Bukankah bidaah berdoa dengan doa yang Nabi saw tidak pernah menyuruhnya?

Jawab :

Berdoa sama ada awal tahun atau awal bulan atau awal minggu atau awal hari semuanya termasuk dalam suruhan yang umum olih Allah dan Nabi sollalahu alaihi wasallam.

Friman Allah :

ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Artinya : “Berdoalah minta kepada-Ku pasti Aku perkenankan bagimu.” (Ghafir : 60)

Dalam ayat ini Allah memerintahkan kita berdoa kepada-Nya tanpa menyebutkan pada waktu mana atau dimana. Siapa yang mahu berdoa di pejabat maka silakan berdoa sekalipun tidak ada suruhan berdoa di pejabat. 

Maka jika ada orang yang melarang berdoa di pejabat dengan berdalil Nabi sollallahu alaihi wasallam tidak pernah berdoa di pejabat maka orang tersebut sudah rosak aqalnya.

Begitu juga berdoa di tepi laut atau di sekolah atau ketika mahu memanjat pokok atau seumpamanya dari tempat-tempat yang tidak ada hadith menyebutnya untuk berdoa disitu.

Begitu juga dengan masa maka tidak ditentukan pada ayat di atas masa-masa yang tertentu untuk berdoa. Allah memerintahkan suruh berdoa. Maka berdoalah samada pada awal tahun atau pertengahan tahun atau hujung tahun atau hari selasa atau rabu atau bulan apa sahaja. 

Olih itu melarang berdoa pada akhir tahun atau awal tahun adalah memandai-mandai membuat larangan pada ibadah yang diperintah secara umum tanpa dalil. Memandai-mandai melarang apa yang diizinkan olih Allah adalah haram dan bidaah.

Soal : 

Bukankah ada ulama yang mengharamkan berdoa pada awal tahun?

Jawab :

Tidak ada. Yang ada ialah ulama memberi ingatan jika mahu berdoa dengan doa akhir tahun atau awal tahun maka janganlah diiktikadkan sebagai satu kemestian atau mengiktikadkan ia sebagai sunnah yang khusus.

Kalau ada ulama yang mengharamkan berdoa pada akhir tahun dan awal tahun maka jelas orang tersebut bukan ulama. Kerana ulama tidak ada seorang pun dari mereka yang mengharamkan perkara yang disuruh olih agama. Sengaja mengharamkan yang tidak haram adalah satu perbuatan maksiat yang haram dan berdosa.

Soal :

Adakah wajib membaca doa awal & akhir tahun?

Jawab :

Tidak wajib membacanya. Berdoa itu sunat hukumnya. Siapa yang berdoa maka dia telah melakukan satu kebaikkan dan siapa yang tidak berdoa maka dia tidak berdosa.

Siapa yang mewajibkannya maka dia telah mekakukan satu kesalahan.

Soal :

Apakah kelebihan membaca doa akhir tahun dan awal tahun?

Jawab :

Didalam doa tersebut ada pemintaan supaya Allah mengampun segala dosa yang lalu.

Maka kelebihan orang yang meminta ampun dari dosa ini sangat banyak yaitu dosanya diampunkan dan redha Allah kepadanya dan diberkati hidupnya dan di akhirat ia akan dimasukkan ke dalam syurga Allah.

Firman Allah :

وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

Artinya : “Dan tiadalah Allah mengazab mereka sedangkan mereka meminta kempunan kepada Allah.” (Al-Anfal : 33)

Soal :

Bagaimana pandangan setengah orang bahawa orang yang membaca doa akhir tahun dan awal tahun adalah ahli bidaah?

Jawab :

Membaca doa adalah suruhan agama. Siapa yang melakukan suruhan agama maka dia bukan ahli bidaah tetapi ahli ibadah. Bidaah ialah melakukan larangan agama. Orang yang melarang orang lain melakukan ibadah adalah ahli bidaah.

wallahua’lam 
ustaz azhar idrus

No comments:

Post a Comment

SET A- KOLEKSI BAHAN LATIHAN- ULANGKAJI PENDIDIKAN ISLAM TAHUN 4

SET A- KOLEKSI BAHAN LATIHAN- ULANGKAJI PENDIDIKAN ISLAM TAHUN 4