MENU

Tuesday, January 19, 2021

TERIMA KASIH CIKGU RUHISHAM HARON. ( 18 JANUARI 2021):DI ATAS PERKONGSIAN INI

 بسم الله الرحمن الرحيم

PdPR 2.0 : Antara Harapan dan Realiti.

Mari kita fikir sejenak.


Mohon yang sudi membaca tulisan saya ini,bacalah sehingga habis agar nampak yang mana kepala,ekor dan badannya. Terutama mereka yang bergelar guru,ibu bapa dan pelajar sekolah. Tulisan saya kali ini agak panjang. Namun, kesabaran tuan-tuan membacanya sangat saya hargai.


  Polemik PdPR ( Pembelajaran di Rumah)  2.0 ini nampaknya kian hangat diperkatakan. Cikgu-cikgu rasa panas punggung walhal tak dan duduk lagi di kerusi sebagai guru musim 2021 ini. Oleh sebab itulah,ramai guru yang bimbang persekolahan pada 20 Januari ini terpaksa ditangguhkan akibat Pandemik COvid yang kian menular. Guru bukan sahaja bimbang soal angka pesakit Covid ( Itu semua maklum )tetapi lebih  bimbang polemik,kritikan dan segala macam buah pukul tentang masalah pembelajaran yang bakal dihadapi oleh anak  murid,secara tak langsung ia melibatkan satu lagi pihak iaitu ibu bapa.

  Saya sebagai guru,juga ibu bapa dan mempunyai anak-anak yang turut terlibat dalam PdPR akan menyelami persoalan ini sekadar pengalaman dan buah fikir. Segala yang baik itu daripada Allah dan kelemahan lontaran idea itu adalah kelemahan saya sendiri.

     Saya telah membaca pelbagai cadangan,luahan, dan pelbagai macam kritkan tak kurang juga yang mengutuk para guru namun, ada juga yang sangat memahami situasi ini. 

  Tuan-tuan yang dirahmati Allah,

Perlu kita sedari dan celik kembali sejarah PdPR di negara kita ini,bahkan nasibnya berlaku di seluruh dunia. Dalam erti kata lain,ia bukan isu lama tetapi ia baharu dan sedang dihadapi oleh semua manusia di atas planet dunia hari ini. 


           BERAPA USIA PDPR?

Jangan samakan kesan pendidikan bersemuka dengan PdPR. Ini hakikat bukan cakap kosong atau sembang kari auta sampai kanggaru boleh terbang.

Usia PdPR baharu  setahun jagung ,jangan diukur sama ukurannya dengan pembelajaran bersemuka yang puluhan tahun. 

Pendidikan bersemuka di dalam bilik darjah yang kita kecapi selama ini telah mengalami proses yang sangat matang. Lebih 50 tahun usianya,sudah melalui pelbagai inovasi dan  kaji selidik serta dapatan. Ibarat kalau manusia ia sudah melalui proses hidup sebagai bayi,meniarap,merangkak,mampu berjalan sendiri,berlari,berfikir dengan baik, bahkan sudah mampu mereka cipta sehinggakan berkahwin serta mempunyai cucu. Memanglah mantap kalau begitu yang dilalui dan lamanya proses pendidikan bersemuka.


 Itu pun masih ada kelompangan. 

Saya ulang,itu pun masih ada kelompangan !


  Takdir Allah ,tiba-tiba guru terpaksa berpisah bilik daripada murid. Jauh di mata,jauh jaraknya .Namun mampu didengar dan dilihat dalam teknologi maya. Ibarat suami terpaksa hidup berjauhan dengan isteri,apakah anda fikir sama natijahnya dengan duduk serumah? Usah kata nak bergurau cubit peha dan hidung,nak bau masakan pun tak boleh. 


Begitulah halnya dengan PdPR. Mahu tidak mahu,kita mesti dan mesti menerima hakikat bahawa PdPR ini masih baharu serta sedang melalui proses menyesuaikan keadaan yang baharu ini. 

Ia berlaku dalam keadaan yang sangat mendadak.


 Kupasan dan dapatan saya sebagai guru dan ibu bapa di bawah ini:


1)CABARAN SEBAGAI GURU:

“Kasyaf guru” memang tinggi jika bersemuka di dalam bilik darjah.


      Dulu ( Bersemuka ) anak murid ada depan mata. Boleh kenal muka mana yang tak faham. Tengok gaya sengih,lubang hidung kembang kempis pun dah tahu faham atau buat-buat faham atau memang mu tak faham. Usah berselindung di sebalik rambut yag keras sebab gel hipster tu. Tengok tulisan  kerja rumah pun cikgu dah tahu.Kamu buat “Last minute” atau mak kamu yang yang tuliskan jawapannya. Baca ayat pun cikgu dah tahu,kamu salin bulat-bulat daripada buku atau Internet.


     Bak kata pendekar ,”Mana mau lari? Buah silat anak murid semua dalam kocek cikgu.

  Namun,itu jika bersemuka. 

Kini buah kilas sudah beralih tangan. Cikgu sudah hilang sebahagian besar ilmu kasyafnya setelah PdPR berlaku dan mesti dilalui. 


              DILEMA GURU

*Tak hantar kerja dikatakan tak bagi kerja.Dah bagi kerja dikatakan terlalu banyak pula.

*Ubah sikit ,bagi inovasi ,bagi sedutan daripada Youtube atau video: Bertungkus lumuslah cikgu cari bahan sesuai, buat video sendiri walhal tak berapa nak reti sangat bab sunting video ni ( bukan semua ). 

Data Internet pula jadi masalah. Kesian ibu bapa . Data Internet mak ayah tak banyak.Terpaksa berkongsi dengan anak-anak yang “Download” bahan atau video yang cikgu hantar. Cikgu faham tu. 


*Buat live FB/ Google meet dan macam-macam lagi : terima kasih bagi yang sudi menyertai. Tapi tahukah kita berapa peratus yang menyertai? Malas nak jawab takut tiba-tiba terasa sebak menanggung pilu.


 Lebih pilu ada yang “left group” neninggalkan cikgu terkontang kanting .

*Bagi kerja fotostat: bukan seorang dua yang perlu difotostat, semua subjek dan semua pelajar ( satu sekolah ).

* Google classroom juga menglami nasib yang sama. Sepi ditiup bayu.


      DILEMA IBU BAPA

•  Masalah peranti ,capaian Internet menghambat isu ini.

Bayangkan jika kita mempunyai empat orang anak,semuanya nak belajar serentak. 

Nak pergi kerja lagi,telefon bimbit nak bawa. Beli telefon bimbit seorang satu tak mampu. Kalau mampu pun  perlu langgan data lagi atau bayar bil bulanan. Lebih parah dalam keadaan Covid ada ibu bapa yang terpaksa diberhentikan kerja. Bayangkan, mahu rasanya tang tu juga nak meraung . Menitik air mata macam cerita Ibu Mentuaku. Satu bab ilmu,satu bab memang tak mampu. 


•  Bagi yang tiada masalah Internet,peranti,timbul pula masalah kerja yang terlalu banyak yang diterima oleh anak-anak di rumah. Mak lah selalunya menjadi “guru ganti” tempat rujuk anak-anak. Penemuan “stres baharu” musim Covid pula melanda ibu bapa di rumah..Fuhhh,…kalau nak cerita tujuh helai kertas A4 tak cukup hari ni !


CADANGAN BELAJAR SEPERTI UNIVERSITI

  Ada yang cadang sedemikian . Pada dasarnya saya setuju tapi bersediakah ibu bapa dengan masalah peranti dan capaian Internet? 

KPM juga perlu akur bahawa jadual juga tidak boleh sepadat jadual bersemuka jika kaedah tersebut terlaksana. 


        DAH TU,BAGAIMANA?

Kembali kepada pada awal perbincangan tadi bahawa kita mahu tidak mahu mesti terima hakikat bahawa kita dalam proses memperbaiki kelemahan yang ada. 

Tolong jangan samakan PdPR dengan pembelajaran bersemuka. 

Sangat tidak adil. 

Tidak adil. 


     Pastinya keadaan yang berbeza dan kemudahan yang jauh berbeza ,mustahil menghasilkan natijah yang sama.


          Kesimpulannya:

1.Semua pihak terutamanya guru dan ibu bapa perlu bekerjasama bagi memastikan PdPR ini berjaya dilakukan dengan menutup kelemahan masing-masing semaksimum yang mungkin.  Kita abaikan dulu kelemahan kecil tetapi masalah kesungguhan pelajar mengikuti PdPR walaupun secara ulangan,lewat waktu kelas( akibat telefon ibu bapa bawa kerja) dan menjawab soalan yang difotostat oleh guru dilaksanakan jua. 


2. Kita kena akur. Ini cabaran yang sedang kita lalui bersama bukannya saling menyalahkan tetapi sama-sama kita pelajari dan perbaiki.

Andai tuan puan berada di tempat guru, ini juga masalah yang tuan-tuan hadapi.

Andai tuan-tuan berada di pihak ibu bapa,ini juga masalah yang tuan-tuan hadapi.


Kami guru,kami juga ada anak.


Analogi:

Kalau dulu kita hidup senang,semua makanan cukup di dalam peti. Tiba-tiba kita tersesat di dalam hutan. Untuk terus hidup wajarkah kita meratap dan membandingkan kemewahan yang dikecapi sewaktu berada di rumah berbanding sewaktu sesat di dalam hutan?


3. Keberkatan ilmu itu ada pada ibu bapa ,ada juga pada guru. Marilah kita sama-sama bekerjasama agar keberkatan tidak ditelan unsur iri hati ,tohmahan dan kutukan.

Tiada siapa mahukan keadaan ini. Namun,siapalah kita hendak menolak takdir ini. Kita mesti hadapi bersama-sama.


Guru biasa,

Ruhisham Haron.

18 Januari 2021.

No comments:

Post a Comment

LAKUKAN 5 PERKARA SEBELUM DATANG 5 PERKARA

  LAKUKAN 5 PERKARA SEBELUM  DATANG 5 PERKARA  Dari Ibnu ‘Abbas, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, اِغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْل...