MENU

Wednesday, March 9, 2022

SYARAT SAH SOLAT - PETIKAN TULISAN FB USTAZ AZHAR IDRUS.- TERIMA KASIH USTAZ AZHAR IDRUS DI ATAS PERKONGSIAN ILMU.

 


بحيرة الأزهر  شرح سفينة النجاة

Kitab Buhairah Al-Azhar Syarah Matan Safinah An-Najah


SYARAT SAH SOLAT

Siri 46


اسْتِقْبَالُ الْقِبْلَةِ

MENGADAP KIBLAT


KETERANGAN


WAJIB MENGADAP KIBLAT KETIKA SOLAT


Bermula syarat sah mengerjakan solat yang keempat ialah mengadap kiblat.


Maka barangsiapa yang solat dalam keadaan tidak mengadap kiblat nescaya solatnya itu tidak sah kerana dia telah meninggalkan satu syarat dari syarat-syarat sahnya solat.


Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini :


فَلَا تصح الصَّلَاة بِدُونِهِ إِجْمَاعًا


Artinya : “Maka tiada sah solat dengan tidak mengadap kiblat dengan ijmak.” (Kitab Al-Iqna’)


Bermula yang dikehendaki dengan kiblat itu ialah Ka’bah maka dinamakan Ka’bah itu sebagai kiblat kerana umat Islam sembahyang dengan berhadap ke arahnya dan dinamakan sebagai Ka’bah kerana terangkatnya tinggi.


Dan tidak diwajibkan mengadap arah kiblat dalam sekelian perkara  ibadah melainkan pada ketika solat sahaja.


Ada pun lain dari pada solat maka sunat hukumnya berhadap arah kiblat seperti ketika berwuduk dan membaca Quran dan berdoa dan menyembelih dan seumpamanya.


Dan dalil wajib mengadap arah kiblat di dalam solat sebelum daripada ijmak itu ialah firman Allah Taala :


وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ


Artinya : “Dan dari mana sahaja keluar oleh kamu maka palingkan akan wajahmu ke arah Masjidil Haram.” (Al-Baqarah : 150)


Yang dikehendaki dengan Masjidil Haram pada ayat ini ialah Ka’bah.


Berkata Imam Nawawi :


وَالْمُرَادُ بِالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ هُنَا الْكَعْبَةُ نَفْسُهَا


Artinya : “Dan yang dikehendaki dengan perkataan Masjidil Haram pada ayat ini ialah diri Ka’bah itu sendiri.” (Kitab Syarah Al-Muhazzab)


Dan firman Allah Taala :


جَعَلَ اللَّهُ الْكَعْبَةَ الْبَيْتَ الْحَرَامَ قِيَامًا لِلنَّاسِ


Artinya : “Allah telah menjadikan akan Ka’bah sebagai Baitul Haram tempat beribadah bagi manusia.” (Al-Maidah : 97)


Dan telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. adalah Nabi sollallahu alaihi wasallam telah bersabda :


إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَأَسْبِغِ الوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ القِبْلَةَ فَكَبِّرْ


Artinya : “Apabila berdiri kamu hendak sembahyang maka sempurnakanlah wuduk kemudian hadaplah ke arah kiblat kemudian bertakbirlah.” (Hadith riwayat Bukhari)


Dan yang dikehendaki dengan mengadap kiblat itu ialah mengadap ke arah ain kiblat jika orang yang solat itu berada dekat Ka’bah atau dapat melihatnya dengan sepakat ulamak.


Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili :


واتفق العلماء على أن من كان مشاهداً معايناً الكعبة: ففرضه التوجه إلى عين الكعبة يقيناً


Artinya : “Telah sepakat oleh ulamak atas bahawasanya barangsiapa dapat nampak akan ain (banggunan) Ka’bah maka wajib atasnya mengadap kepada ain Ka’bah dengan yakin.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)


Dan jika orang yang solat itu jauh dari Ka’bah atau tidak dapat melihatnya maka tidak disyaratkan mengadap betul ainnya secara yakin tetapi memadai dengan zhan sahaja.


Berkata Dr Mustafa Al-Bugha :


أما القريب منها : فيجب أن يستقبل عين الكعبة يقيناً. وأما البعيد عنها : فيجب عليه أن يستقبل عين الكعبة معتمداً على الأدلة الظنية، إن لم يمكنه الدليل القطعي


Artinya : “Adapun orang berada dekat dengan Ka’bah maka wajib atasnya mengadap akan ain Ka’bah dengan yakin. Dan ada pun orang yang jauh dari Ka’bah maka wajib atasnya mengadap akan ain Ka’bah berpegang dengan dalil zhan yakni berat sangkaan jika dia tidak mampu dengan dalil yang putus (pasti).” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)


Barangsiapa yang telah selesai dari solat baru dia teringat solatnya itu tidak mengadap kiblat maka wajib dia ulangi solat tersebut kerana solatnya yang tidak mengadap kiblat itu tidak sah.


Demikian juga seorang yang tersalah arah kiblat wajib mengulangi solat kerana solat yang dahulu itu tidak sah kerana tidak mengadap arah kiblat yang betul.


Maka syarat mengadap kiblat itu ialah pada sekelian jenis solat samada solat fardu atau sunat atau qadha atau solat jenazah dan sujud sajadah.


Berkata Imam Syafie r.a. :


ولا يجوز لأحد: أن يصلي فريضة، ولا نافلة، ولا سجود قرآن، ولا جنازة، إلا متوجها إلى البيت الحرام


Artinya : “Dan tiada harus bagi seorang itu yang mengerjakan solat fardu dan sunat dan sujud tilawah dan solat jenazah melainkan dalam keadaan berhadap kepada Ka’bah.” (Kitab Al-Bayan fi Mazhab Al-Imam As-Syafie)


Ada pun pada solat khauf atau solat sunat ketika dalam perjalanan maka tidak diwajibkan pada keduanya mengadap kiblat.


Berkata Imam As-Syairazi :


استقبال القبلة شرط في صحة الصلاة إلا في حالين في شدة الخوف وفي النافلة في السفر


Artinya : “Mengadap kiblat itu adalah syarat pada sahnya solat melainkan pada dua keadaan yaitu pada solat ketika bersangatan takut dan pada solat sunat di dalam musafir.” (Kitab Al-Muhazzab)


CARA MENGADAP KIBLAT


Bermula yang disyaratkan pada mengadap kiblat di dalam solat itu ialah mengadap oleh seorang akan dadanya bukannya dengan mukanya.


Kerana itu berpaling muka di dalam solat tidak membatalkan solat tetapi berpaling dada itu membatalkan solat.


Dan yang afdhal ialah mengadap akan kiblat dengan seluruh badannya yaitu mukanya dan dadanya dan bahagian bawah badannya.


Oleh itu jika seorang yang solat di hadapan Ka’bah dengan hanya sebelah badannya sahaja mengadap ain kiblat manakala sebelah lagi badannya tidak mengadap ain kiblat maka solatnya itu tidak sah.


Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini :


فَلَو خرج عَن محاذاة الْكَعْبَة بِبَعْض بدنه بِأَن وقف بطرفها وَخرج عَنهُ بِبَعْضِه بطلت صلَاته


Artinya : “Maka jikalau terkeluar seorang itu dari berbetulan sebahagian badannya akan Ka’bah seperti dia berdiri pada tepinya dan keluar sebahagian badannya maka solatnya itu batal.” (Kitab Al-Iqna’)


Demikian lagi wajib mengadap kiblat itu dari awal solat yaitu dari mula mengucap takbiratulihram  sehingga akhirnya yaitu sehingga selesai memberi salam.


Oleh itu jika seorang itu hanya mengadap kiblat ketika takbiratulihram sahaja atau ketika memberi salam sahaja atau ketika pertengahan solat sahaja misalnya maka solatnya itu tidak sah.


Dan jika seorang itu solat ditempat yang tinggi seperti di atas banggunan dan Ka’bah berada di bawahnya maka disyaratkan baginya mengadap akan arah bumbung Ka’bah tidak wajib dia tunduk kepada arah Ka’bah.


Dan disyaratkan mengadap dada ke arah kiblat itu ialah atas mereka yang solat berdiri atau duduk.


Adapun mereka yang solat dalam keadaan berbaring atau terlentang maka jika dapat hendaklah dihadapkan muka dan dadanya ke arah kiblat.


Jika beratur saf yang panjang dihadapan Ka’bah dan sebahagian saf bebetulan dadanya ke  arah Ka’bah manakala sebahagian saf terkeluar dadanya dari berhadap arah Ka’bah maka yang berbetulan dadanya arah Ka’bah itu sah solatnya dan yang terkeluar dadanya dari mengadap arah Ka’bah itu tiada sah solatnya.


MENCARI ARAH KIBLAT


Jika seorang itu berada di tempat yang diketahui arah kiblat seperti berada di dalam masjid atau musolla atau rumah yang ada tanda arah kiblatnya maka harus dia mengikut akan arah kiblat di dalam masjid dan musolla dan rumah tersebut itu tanpa perlu bertanya kepada orang yang lain.


Dan jika seorang itu berada di tempat yang tidak ada tanda arah kiblat dan dia tidak tahu arah kiblat maka jika ada di tempat itu orang yang mengetahui arah kiblat maka hendaklah  dia mengikut orang tersebut.


Berkata Imam As-Syairazi :


ومن غاب عنها فأخبره ثقة عن علم صلى بقوله ولم يجتهد


Artinya : “Dan siapa yang berada di tempat yang tidak nampak Ka’bah kemudian ada orang yang dipercayai memberitahunya arah kiblat maka sah dia solat dengan mengikut cakap orang tersebut dan tidak wajib dia berijtihad (mencari arah kiblat).” (Kitab At-Tanbih)


Dan jika tiada di situ orang yang tahu arah kiblat maka wajib atasnya berijtihad mendapatkan arah kiblat mengikut berat sangkaannya.


Dan harus mendapatkan arah kiblat menggunakan peralatan seperti kompas atau lainnya dan harus berijtihad dengan melihat matahari atau bulan atau bintang atau angin atau seumpamanya.


Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili :


ومن لم يجد ثقة يقلده اعتمد على الدلائل كالفجر والشفق والشمس والقطب وغيره من الكواكب


Artinya : “Dan barangsiapa tidak menjumpai orang yang dapat dipercayai untuk diikutnya maka dia boleh berpegang dengan segala tanda seperti cahaya fajar dan cahaya syafaq (cahaya merah selepas waktu maghrib) dan matahari dan segala bintang di langit.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)


Tidak mengapa jika arah kiblat solat seseorang itu tersasar sedikit samada ke kanan atau ke kiri dari arah kiblat yang sebenar sekira-kira orang yang solat itu masih dikira mengadap arah kiblat dan hendaklah selepas mengetahui arah yang lebih tepat itu dia solat berhadap ke arahnya.


Dan jika seorang yang sedang solat dengan tidak sengaja terpaling dadanya dari mengadap kiblat kemudian dia betulkan kembali mengadap arahnya maka solatnya itu tidak batal.


Dan sengaja memalingkan muka dari arah kiblat di dalam solat itu tidak membatalkan solat tetapi sengaja berbuat demikian hukumnya adalah dimakruhkan.


Telah menyebut oleh Syeikh Zakaria Al-Ansari :


إذَا انْحَرَفَ الْمُصَلِّي عَلَى الْأَرْضِ عَنْ الْقِبْلَةِ نَظَرَ إنْ اسْتَدْبَرَهَا أَوْ تَحَوَّلَ إلَى جِهَةٍ أُخْرَى عَمْدًا بَطَلَتْ صَلَاتُهُ وَإِنْ فَعَلَهُ نَاسِيًا وَعَادَ إلَى الِاسْتِقْبَالِ عَلَى قُرْبٍ لَمْ تَبْطُلْ وَإِنْ عَادَ بَعْدَ طُولِ الْفَصْلِ بَطَلَتْ عَلَى الْأَصَحِّ


Artinya : “Jika terpaling orang yang solat di atas tanah dari arah kiblat maka hendaklah dilihat jika dia sengaja membelakangkan kiblat atau berpaling kepada arah yang lain nescaya batal solatnya. Dan jika dia berbuat demikian sebab terlupa dan dia kembali kepada mengadap arah kiblat dengan segera maka solatnya tidak batal. Dan jika dia kembali ke arah kiblat setelah berlalu masa yang lama nescaya batal solatnya menurut pendapat yang paling sahih.” (Kitab Al-Ghurarul Bahiyyah)


Dan barangsiapa solat di atas suatu yang bergerak seperti kapal misalnya maka apabila kapalnya itu berpaling dari arah kiblat maka hendaklah dia berpaling supaya tetap mengadap arah kiblat.


wallahua’lam 

ustaz azhar idrus

No comments:

Post a Comment

SET A- KOLEKSI BAHAN LATIHAN- ULANGKAJI PENDIDIKAN ISLAM TAHUN 4

SET A- KOLEKSI BAHAN LATIHAN- ULANGKAJI PENDIDIKAN ISLAM TAHUN 4